N.S. P.U. 13/92
KAEDAH-KAEDAH PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1992

ATURAN 30 - PELAKSANAAN OLEH MAHKAMAH-MAHKAMAH LAIN




Kaedah 2. Pelaksanaan oleh Mahkamah-Mahkamah lain.

(1) Mahkamah boleh meminta mana-mana Mahkamah yang sama bidangkuasanya atau mana-mana Mahkamah bawahan yang lain melaksanakan mana-mana penghakimannya jika ia berpendapat bahawa ada kemungkinan penghakiman itu tidak boleh disempurnakan jika ia tidak berbuat demikian jika harta yang hendak dilaksanakan itu atau orang yang menerima penghakiman itu berada atau bermastautin dalam bidangkuasa tempatan Mahkamah yang lain itu.

(2) Permintaan tersebut boleh dibuat atas alasan kesenangan dan mengurangkan perbelanjaan.

(3) Apabila permintaan tersebut dibuat, prosiding di bawah Aturan 20 kaedah 5 atau Aturan 22 atau 23 tidak boleh dilakukan dalam Mahkamah yang meminta itu sebelum pengembalian permintaan itu.

(4) Permintaan itu hendaklah dibuat dalam Borang-borang yang ditetapkan dalam Aturan 21 atau 22 yang mana terpakai dengan ubahsuaian yang perlu dan hendaklah disertakan dengan satu salinan penghakiman yang diperakukan.

(5) Mahkamah yang menerima hendaklah memfail dan mendaftarkan prosiding itu dan kemudiannya melaksanakan penghakiman itu secara menyeluruh seolah-olah ianya telah dikeluarkan oleh Mahkamah yang menerima itu.

(6) Mahkamah yang menerima hendaklah dengan sendirinya mengendalikan mana-mana prosiding pelaksanaan. Bagi maksud tersebut penghakiman hendaklah mempunyai keutamaan sama dengan tarikh dan masa kemasukan prosiding itu dalam Mahkamah yang menerima itu.

(7) Mahkamah yang menerima hendaklah terikat dengan mana-mana perintah Mahkamah Rayuan seperti juga Mahkamah yang meminta itu.

(8) Apabila selesai prosiding dalam Mahkamah yang menerima itu, Mahkamah tersebut hendaklah menghantar kepada Mahkamah yang meminta satu pengembalian permintaan itu dan jika perlu, satu laporan mengenai keputusan mana-mana prosiding sampingan.

(9) Jika penghakiman itu tidak disempurnakan oleh Mahkamah yang menerima, Mahkamah yang meminta itu boleh mengeluarkan satu permintaan kepada Mahkamah lain, atau dengan alasan yang mencukupi boleh mengeluarkan permintaan selanjutnya kepada Mahkamah itu juga.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.