N.S. P.U. 13/92
KAEDAH-KAEDAH PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1992

ATURAN 22 - PELAKSANAAN
Pelaksanaan melalui garnishmen




Kaedah 11. Penahanan hutang, dsb.

(1) Tiada perintah untuk penahanan hutang di bawah kaedah 9 boleh dibuat atau berkuatkuasa berkenaan dengan apa-apa wang yang kena dibayar atau terakru kena dibayar, atau dikatakan kena dibayar atau terakru kena dibayar, oleh Kerajaan Persekutuan atau Negeri melainkan dengan izin Mahkamah.

(2) Tiap-tiap permohonan kepada Mahkamah untuk suatu perintah di bawah kaedah 11 (1) yang menghalang mana-mana orang daripada menerima wang yang kena dibayar kepadanya oleh Kerajaan Persekutuan atau Negeri dan mengarahkan pembayaran wang itu kepada pemohon atau seseorang yang lain mestilah dibuat melalui notis yang disampaikan kepada Kerajaan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum pendengarannya dan, melainkan jika diperintahkan selainnya oleh Mahkamah, kepada orang yang hendak dihalang itu atau Peguam Syarienya; dan permohonan itu mestilah disokong melalui afidavit yang menyatakan fakta-fakta yang membangkitkan perkara itu, dan khususnya mengenalpasti hutang tertentu daripada Kerajaan yang berkenaan dengannya ia dibuat.

(3) Tiada perintah sedemikian boleh dibuat melainkan dan sehingga telah dikemukakan kepada Mahkamah kebenaran bertulis terhadap perintah sedemikian, oleh Menteri Kewangan sekiranya perintah itu adalah terhadap Kerajaan Persekutuan atau Menteri Besar, sekiranya perintah itu adalah terhadap Kerajaan Negeri.

(4) Bagi maksud kaedah ini, perkataan "Kerajaan" hendaklah dianggap meliputi mana-mana pegawai awam, yang dalam kapasiti rasminya, mempunyai apa-apa wang di bawah jagaan atau kawalannya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.