N.S. P.U. 13/92
KAEDAH-KAEDAH PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1992

ATURAN 1 - PERMULAAN




Kaedah 2. Tafsiran.

(1) Dalam Kaedah-kaedah ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"bailif" termasuklah Pendaftar, mana-mana kerani atau pegawai lain Mahkamah yang dipertanggungkan bagi melaksanakan tugas-tugas seseorang bailif;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991[Enakmen 1/1991];

"garnishee" ialah pihak ketiga yang memegang harta alih penghutang penghakiman;

"Hakim" ertinya Hakim Mahkamah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 37 dan 39 Enakmen Pentadbiran, yang mana berkenaan;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 37(1) Enakmen Pentadbiran;

"lien" ertinya hak ke atas harta kepunyaan penghutang penghakiman setakat jumlah yang terhutang;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 36 Enakmen Pentadbiran;

"Negeri" ertinya Negeri Sembilan;

"notis" ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 54(1) Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 40(1) Enakmen Pentadbiran, yang mana berkenaan;

"prima facie" ialah keterangan yang boleh diterima kalau tidak dibuktikan sebaliknya;

"orang yang belum dewasa" ertinya orang yang belum mencapai umur 18 tahun;

"orang yang tidak berkeupayaan" termasuk orang yang belum dewasa dan orang yang tidak siuman dan orang yang ditegah menguruskan hartanya;

"tahun" mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Akta-akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388];

"terjemahan yang diperakukan" ertinya terjemahan sesuatu dokumen yang diperakukan betul oleh pegawai Mahkamah;

"tindakan" termasuklah "guaman" dan begitu juga sebaliknya.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Aturan ini dan yang tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] yang mana sesuai hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing setakat erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.