Pg. P.U. 12/2001 PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI (KELAKUAN DAN TATATERTIB) MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG 2001 BAHAGIAN II - TATAKELAKUAN
Peraturan 19. Membuat pernyataan awam.
(1) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—
(a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Majlis atau Kerajaan Negeri tentang apa-apa isu;
(b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Majlis atau Kerajaan Negeri ;
(c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Majlis atau Kerajaan Negeri;
(d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.
(2) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—
(a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Majlis atau Kerajaan Negeri;
(b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi Majlis;
(c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Majlis atau Kerajaan Negeri; atau
(d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,
melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Majlis.
(3) Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Majlis.
(4) Bagi maksud peraturan ini, “pernyataan awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.