Sel. P.U. 3/2002 KAEDAH-KAEDAH PEGAWAI MASJID DAN JAWATANKUASA KARIAH (NEGERI SELANGOR) (PINDAAN) 2001
Kaedah 19. Kaedah baru 33A.
Kaedah-kaedah Ibu adalah dipinda dengan memasukkan selepas kaedah 33 kaedah yang berikut:
“Penamatan jawatan dan pembatalan Jawatankuasa Masjid dan Surau, dsb.
33A. (1) Walau apa pun apa-apa jua dalam kaedah-kaedah ini dan tanpa menjejaskan kuasa-kuasa MAIS di bawah kaedah 32 dan 33, MAIS boleh, mengikut budi bicara mutlaknya, menamatkan jawatan seseorang Pegawai Masjid atau Surau atau membatalkan pelantikan Jawatankuasa Masjid atau Surau yang dibuat di bawah Bahagian IV atau pemilihan atau pelantikan Pegawai Surau atau anggota Jawatankuasa Surau yang dibuat di bawah kaedah 37, mengikut mana-mana yang berkenaan, jika MAIS atau Setiausaha MAIS mendapati, selepas siasatan yang wajar, bahawa—
(a) pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah melanggar peruntukan-peruntukan perenggan-perenggan (a) atau (b) kaedah 32, atau perenggan-perenggan (a), (b), (c), (d), (e), (f), (g) atau (h) subkaedah 33(1);
(b) pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah menjalankan apa-apa tugas yang dipertanggungkan kepadanya di bawah kaedah-kaedah ini dengan cara yang tidak memberi manfaat atau menjejaskan
perpaduan ahli-ahli kariah Masjid atau Surau itu;
(c) pelantikan atau pemilihan pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah atau akan menimbulkan pertelingkahan dan rasa tidak puas hati yang serius di kalangan ahli-ahli kariah Masjid atau Surau itu dan menjejaskan kelicinan pentadbiran Masjid atau Surau itu;
(d) pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah secara sengaja gagal atau enggan mematuhi apa-apa arahan bertulis yang diberikan oleh MAIS atau Setiausaha MAIS di bawah kaedah-kaedah ini;
(e) pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah menjalankan aktiviti-aktiviti yang membawa mudarat kepada ketenteraman, kebajikan, akhlak, perpaduan dan keharmonian anak kariah, negeri dan negara;
(f) pegawai atau Jawatankuasa berkenaan telah menjadi tidak layak untuk terus menjalankan tugas-tugas yang dipertanggungkan kepadanya di bawah kaedahkaedah ini berdasarkan apa-apa sebab yang
dinyatakan secara bertulis oleh MAIS atau Setiausaha MAIS; atau
(g) demi kelicinan dan manfaat pentadbiran masjid atau surau tersebut.
(2) Apabila MAIS atau Setiausaha MAIS bercadang untuk menamatkan jawatan Pegawai Masjid atau Surau atau membatalkan Jawatankuasa Masjid atau Surau di bawah subkaedah (1), MAIS atau Setiausaha MAIS hendaklah—
(a) memaklumkan kepada pegawai atau seorang atau lebih anggota Jawatankuasa berkenaan hasratnya untuk menamat jawatan atau membatalkan Jawatankuasa itu; dan
(b) memberi peluang kepadanya atau mereka untuk mengemukakan, dalam tempoh tujuh hari, alasan mengapa jawatan atau Jawatankuasa berkenaan tidak patut ditamat atau dibatalkan.
(3) Jika MAIS atau Setiausaha MAIS tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan di bawah subkaedah (2)(b), MAIS atau Setiausaha MAIS hendaklah, dengan arahan bertulis, berkuat kuasa dari tarikh yang ditetapkan, menamatkan jawatan atau membatalkan Jawatankuasa berkenaan dan memberi apa-apa arahan sampingan sewajarnya.
(4) Walau apa pun apa-apa jua dalam kaedah-kaedah ini, MAIS atau Setiausaha MAIS, boleh mengisi jawatan yang telah ditamatkan dan melantik Jawatankuasa Masjid atau Surau yang baru itu mengikut apa-apa cara dan dengan apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut dan wajar dan pengisian dan pelantikan baru tersebut bolehlah tidak tertakluk kepada apa-apa peruntukan Bahagian IV dalam kaedah-kaedah ini atau MAIS atau Setiausaha MAIS melantik beberapa bilangan orang untuk mentadbir Masjid atau Surau tersebut.
(5) Adalah sah di sisi undang-undang bagi MAIS atau Setiausaha MAIS untuk menamatkan jawatan atau membatalkan Jawatankuasa berkenaan di bawah kaedah ini walaupun suatu tauliah mengenainya telah diberikan dan masih berkuat kuasa.
(6) Seseorang pegawai atau anggota Jawatankuasa berkenaan yang telah ditamatkan jawatannya atau dibatalkan di bawah kaedah ini, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang gagal mematuhi arahan yang diberikan di bawah subkaedah (3), adalah melakukan suatu kesalahan.”.