Sel. P.U. 347/2007
PERATURAN -PERATURAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (KELAKUAN DAN TATATERTIB ) 2007

Bahagian I - PERMULAAN



Peraturan 3. Tafsiran

(1) Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“anak” ertinya anak bagi seseorang pegawai yang di bawah tanggungannya, termasuk—

(a) anak yang lahir selepas kematian dan anak tiri tanggungan pegawai itu;

(b) anak yang diambil sebagai anak angkat oleh pegawai itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pengangkatan itu; dan

(c) anak, yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri;

“emolumen” ertinya apa-apa saraan, termasuklah gaji, pemberian tetap, pembayaran insentif dan elaun bulanan, yang kena dibayar kepada seseorang pegawai setiap bulan;

“Enakmen” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003;

“gaji” ertinya gaji pokok seseorang pegawai;

“institusi kewangan” ertinya bank atau institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372] atau Bank Islam yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983 [Akta 276] atau mana-mana bank yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis;

“Jawatankuasa Tatatertib” ertinya jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 31 Enakmen;

“kesalahan jenayah” ertinya apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud atau ketidakjujuran atau tingkahlaku keji;

“Ketua Bahagian” ertinya seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu bahagian, jawatan, unit atau cawangan, dan termasuklah mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis untuk menjalankan fungsi seorang Ketua Bahagian bagi apa-apa tempoh masa;

“Ketua Jabatan” ertinya Setiausaha Majlis atau mana-mana orang, walau dengan nama apa pun disebut, yang dipertanggungjawabkan dengan pentadbiran dan pengurusan harian hal ehwal Majlis;

“koperasi” ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 [Akta 502];

“Lembaga Rayuan Tatatertib” ertinya Lembaga Rayuan Tatatertib yang ditubuhkan di bawah Seksyen 33 Enakmen;

“Mahkamah Sivil” atau “Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah Rayuan Syariah” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003;

“pegawai” ertinya seseorang yang diambil bekerja secara tetap, sementara atau kontrak oleh Majlis, dan dibayar emolumen oleh Majlis, dan termasuklah seseorang yang dipinjamkan ke mana-mana perbadanan subsidiari atau syarikat atau mana-mana badan berkanun yang lain atau mana-mana agensi Kerajaan Negeri atau mana-mana syarikat yang dalamnya Majlis mempunyai kepentingan;

“penanggung insurans” ertinya penanggung insurans yang dilesenkan di bawah Akta Insurans 1996 [Akta 553] atau pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984 [Akta 312];

“sabitan” atau “disabitkan”, berhubung dengan seseorang pegawai, ertinya suatu dapatan oleh sesuatu mahkamah, termasuk Mahkamah Syariah, di bawah mana-mana undang-undang bertulis bahawa pegawai itu bersalah atas sesuatu kesalahan jenayah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.