Sel. P.U. 346/2007
PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (PELANTIKAN, KENAIKAN PANGKAT DAN PENAMATAN PERKHIDMATAN) 2007

Bahagian VI - TEMPOH PERCUBAAN, PENGESAHAN DAN PELANJUTAN TEMPOH PERCUBAAN



Peraturan 30. Syarat pengesahan

(1) Seseorang pegawai dalam percubaan yang telah memenuhi semua syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan atau apa-apa syarat lain yang boleh ditentukan oleh Majlis dari semasa ke semasa adalah layak bagi pengesahan dalam perkhidmatannya.

(2) Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Jawatankuasa perakuan dalam borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga bagi pengesahan seseorang pegawai di bawah kawalannya dalam tempoh satu bulan dari tarikh pegawai itu didapati layak bagi pengesahan.

(3) Jika Ketua Jabatan gagal mengemukakan perakuan bagi pengesahan seseorang pegawai mengikut subperaturan (2), pegawai itu boleh memohon kepada Jawatankuasa untuk disahkan dan suatu salinan permohonan itu hendaklah dihantar kepada Ketua Jabatan.

(4) Setelah menerima permohonan di bawah subperaturan (3), Jawatankuasa boleh menjalankan suatu siasatan dan apabila selesai siasatan itu mengesahkan pegawai itu jika Jawatankuasa mendapati pegawai itu layak bagi pengesahan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.