Sel. P.U. 222/91
KAEDAH-KAEDAH PEGUAM SYARIE 1991
BAHAGIAN IV - PROSIDING TATATERTIB
Kaedah 18. Siasatan.
(1) Setelah Pengerusi Jawatankuasa menerima sesuatu aduan itu, dia hendaklah menyebabkan suatu mesyuarat Jawatankuasa diadakan.
(2) Tiap-tiap siasatan oleh Jawatankuasa hendaklah dijalankan secara dan setakat yang difikirkan adil dan munasabah menurut budibicara mutlaknya dengan syarat bahawa sebelum ia menentukan bahawa siasatan hendaklah diadakan, ia hendaklah:
(a) mengepos atau menyampaikan kepada Peguam Syarie yang berkenaan-
(i) suatu pernyataan bertulis menyatakan isi aduan itu; dan
(ii) suatu notis meminta Peguam Syarie yang berkenaan, dalam sesuatu masa (tidak kurang daripada empat belas hari) memberi kepada Jawatankuasa apa-apa jua penjelasan bertulis yang hendak diberinya dan memberitahu Jawatankuasa itu sekiranya ia suka supaya didengar oleh Jawatankuasa itu; dan
(b) membiarkan masa yang dinyatakan dalam notis itu luput dan memberi Peguam Syarie yang berkenaan peluang yang berpatutan untuk didengar jika ia suka dan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada apa-apa penjelasan yang mungkin dibuatnya.
(3) Apabila siasatan telah selesai, Jawatankuasa hendaklah memberi suatu laporan tentang pendapatnya kepada Majlis; dan hendaklah juga membuat perakuannya sama ada Peguam Syarie berkenaan adalah bersalah atau tidak atas kesalahan yang diadukan itu.
(4) Jika Jawatankuasa membuat perakuan bahawa Peguam Syarie berkenaan didapati bersalah atas kesalahan yang diadukan itu, Jawatankuasa hendaklah juga membuat perakuan mengenai hukuman yang patut dikenakan ke atas Peguam Syarie tersebut.
(5) Tertakluk kepada Kaedah-kaedah ini, Jawatankuasa adalah berkuasa untuk mengawalselia prosedurnya sendiri berhubungan dengan penjalanan siasatannya ke atas apa-apa aduan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.