Sel. P.U. 346/2007
PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (PELANTIKAN, KENAIKAN PANGKAT DAN PENAMATAN PERKHIDMATAN) 2007

Bahagian I - PERMULAAN



Peraturan 4. Tafsiran

Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Enakmen” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003;

“gaji” ertinya gaji pokok seseorang pegawai;

“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Sumber Manusia yang ditubuhkan di bawah Peraturan 5;

“kenaikan pangkat” ertinya peningkatan secara hakiki dari satu gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Jawatankuasa;

“Ketua Jabatan” ertinya Ketua Pegawai Eksekutif Majlis;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen;

“mastautin” ertinya seseorang yang menetap atau mendiami di mana-mana bahagian dalam Negeri Selangor untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun;

“pegawai” ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Majlis yang dilantik oleh Jawatankuasa secara tetap, sementara atau kontrak;

“pelantikan” ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan Majlis oleh Jawatankuasa secara tetap, sementara atau kontrak termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat di dalam mana-mana skim perkhidmatan;

“pemangkuan” yang berhubung dengan pegawai, ertinya pelaksanaan tugas oleh seseorang pegawai dengan sepenuh masa suatu jawatan lain yang lebih tinggi grednya daripada gred hakiki pegawai itu dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Jawatankuasa;

“penanggungan kerja” yang berhubung dengan pegawai, ertinya pelaksanaan tugas, di samping tugasnya sendiri bagi suatu tempoh yang dinyatakan, suatu jawatan lain yang diluluskan oleh Jawatankuasa;

“panel perubatan” ertinya hospital, pusat perubatan atau klinik yang dilantik oleh Majlis sebagai panel untuk rawatan pesakit luar atau rawatan di wad;

“pengamal perubatan berdaftar” ertinya pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50];

“perkhidmatan Majlis” ertinya perkhidmatan Majlis Agama Islam Selangor.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.