Sel. P.U. 4/1995
KAEDAH-KAEDAH PEGAWAI MASJID DAN JAWATANKUASA KARIAH(NEGERISELANGOR)1995

BAHAGIAN IV - PEMILIHAN NAZIR DAN JAWATANKUASA KARIAH



Kaedah 8. Pemilihan.

(1) Bagi setiap masjid, Pegawai Tadbir Agama bagi daerah atau kawasan tempat terletaknya masjid itu hendaklah mendapatkan nama sekurang-kurangnya 20 orang calon, termasuk sekurang-kurangnya seorang calon untuk menjadi wakil pemuda dan seorang calon untuk menjadi wakil wanita, daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung tempat terletaknya masjid itu atau, jika sesuatu masjid tidak terletak dalam kawasan yang mempunyai Jawatankuasa sedemikian, daripada badan-badan kebajikan Islam di dalam kariah masjid itu, bagi maksud perlantikan sebagai Nazir dan anggota Jawatankuasa Kariah bagi masjid itu.

(2) Pegawai Tadbir Agama yang disebut dalam subkaedah (1) hendaklah mengemukakan nama calon-calon yang disebut dalam subkaedah itu kepada Setiausaha Jawatankuasa MAIS berserta dengan ulasannya tentang kesesuaian calon-calon itu.

(3) Apabila Setiausaha Jawatankuasa MAIS menerima mana-mana calon dan ulasan yang disebut dalam subkaedah (2), dia hendaklah mengemukakan nama-nama itu kepada Jawatankuasa MAIS untuk pemilihan.

(4) Jawatankuasa MAIS hendaklah memilih calon yang layak untuk dilantik menjadi Nazir dan anggota Jawatankuasa Kariah dan mengemukakan kepada MAIS nama calon-calon itu.

(5) Jawatankuasa MAIS boleh, sebelum membuat pemilihan di bawah subkaedah (4), mengarahkan Pegawai Tadbir Agama yang mengemukakan nama calon-calon di bawah subkaedah (1) supaya mendapatkan ulasan mana-mana pihak yang ditentukan oleh Jawatankuasa MAIS itu tentang calon-calon itu dan mengemukakan ulasan itu kepada Jawatankuasa MAIS itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.