Akta A1261 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006
Seksyen 12. Pindaan seksyen 52
Seksyen 52 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “perempuan” perkataan “atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan,”;
(ii) dalam perenggan (a), (c) dan (f), dengan memasukkan selepas perkataan “suami” perkataan “atau isteri”;
(iii) dengan menggantikan perenggan (d) dengan perenggan yang berikut:
“(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinan (nafkah batin) suami atau isteri itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, selama tempoh satu tahun;”;
(iv) dengan menggantikan perenggan (h) dengan perenggan yang berikut:
“(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, iaitu, antara lain—
(i) secara lazim menyakitinya atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara tidak bermoral;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;”;
(v) dengan menggantikan perenggan (i) dengan perenggan yang berikut:
“(i) bahawa walaupun selepas empat bulan berlalu, perkahwinan itu masih belum disatukan kerana suami atau isteri dengan sengaja enggan disetubuhi;”; dan
(vi) dalam perenggan (k), dengan memasukkan selepas perkataan “tidak layak untuk berkahwin;” perkataan “atau”;
(b) dengan menggantikan subseksyen (2) dengan subseksyen yang berikut:
“(2) Tiada perintah boleh dibuat atas alasan yang dinyatakan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri itu telah pun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.”;
(c) dalam subseksyen (3)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “atas alasan” perkataan “yang dinyatakan”; dan
(ii) dengan menggantikan perkataan “enam” dengan perkataan “dua belas”; dan
(d) dalam subseksyen (4), dengan memasukkan selepas perkataan “mana-mana alasan” perkataan “yang dinyatakan”.