Akta A1261 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006
Seksyen 6. Pindaan seksyen 23
Seksyen 23 Akta ibu dipinda—
(a) dengan menggantikan subseksyen (1) dengan subseksyen yang berikut:
“(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”;
(b) dengan memasukkan selepas subseksyen (1) subseksyen yang berikut:
“(1A) Sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran Mahkamah di bawah subseksyen (1) tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 123.”;
(c) dalam subseksyen (3)—
(i) dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”; dan
(ii) dengan menggantikan perkataan “dan” yang terdapat selepas perkataan “dikatakan patut” dengan perkataan “atau”;
(d) dalam subseksyen (4)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “isteri-isterinya yang sedia ada” perkataan “, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang, pada pendapat Mahkamah, boleh memberikan maklumat yang berhubungan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu”; dan
(ii) dalam perenggan (a), dengan menggantikan perkataan “dan” yang terdapat selepas perkataan “adalah patut” dengan perkataan “atau”;
(e) dalam subseksyen (5), dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”;
(f) dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “Enakmen Pentadbiran bagi rayuan dalam perkara sivil” dengan perkataan “Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585]”; dan
(g) dengan memasukkan selepas subseksyen (8) subseksyen yang berikut:
“(9) Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu—
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.”.