AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Seksyen 105. Kuasa Mahkamah untuk menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia.
(1) Mahkamah boleh, atas permohonan bapa atau ibu seseorang anak -
(a) jika keputusan sesuatu perbicaraan hal-ehwal suami-isteri belum selesai; atau
(b) jika, di bawah sesuatu perjanjian atau di bawah perintah Mahkamah, hanya ibu sahaja atau bapa sahaja ada mempunyai jagaan atas anak itu manakala yang satu lagi itu tidak ada mempunyai jagaan,
mengeluarkan suatu tegahan menahan pihak yang satu lagi itu daripada membawa anak itu keluar dari Malaysia atau Mahkamah boleh membenarkan anak itu dibawa keluar dari Malaysia sama ada tanpa syarat atau tertakluk kepada apa-apa syarat atau akujanji yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
(2) Mahkamah boleh, atas permohonan seseorang yang ada mempunyai kepentingan, mengeluarkan suatu tegahan menahan seseorang, lain daripada orang yang ada mempunyai jagaan atas kanak-kanak itu, daripada membawa seseorang kanak-kanak keluar dari Malaysia.
(3) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.