AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993

BAHAGIAN IX - MASUK ISLAM



Seksyen 89. Pendaftaran Muallaf.


(1) Seseorang yang telah masuk Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran sebagai seorang muallaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 telah dipenuhi berkenaan dengan orang itu, Pendaftar boleh mendaftarkan kemasukan Islam orang itu dengan mencatatkan dalam Daftar Muallaf nama orang itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki dalam Daftar.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh masuk Islam dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya akan hal dan tarikh masuk Islam, dan butir-butir lain yang hendak dicatatkan dalam Daftar Muallaf, Pendaftar boleh membuat siasatan-siasatan dan memanggil apa-apa keterangan sebgaimana yang dia fikirkan perlu, tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung kepada kata pemohon bagi kemasukan Islam itu setakat yang berkenaan dengan hal dan tarikh masuk Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon bagi kemasukan Islam, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucap, di hadapannya atau mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak-kehendak seksyen itu.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.