AKTA 561
AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 106. Penyingkiran keterangan untuk menyangkal jawapan kepada soalan yang menguji kebenaran.


Apabila seseorang saksi telah ditanya dan telah menjawab apa-apa soalan yang relevan kepada siasatan itu hanya setakat yang ia cenderung melemahkan kebolehpercayaannya dengan mencela wataknya, tiada keterangan boleh diberikan untuk menyangkalnya; tetapi jika dia memberikan jawapan palsu, maka dia boleh kemudiannya dipertuduh kerana memberikan keterangan palsu.

Kecualian 1 - Jika seorang saksi ditanya sama ada dia dahulunya telah disabitkan atas apa-apa jenayah dan dia menafikannya, maka keterangan boleh diberikan mengenai sabitannya yang dahulu itu.

Kecualian 2 - Jika seorang saksi ditanya apa-apa soalan yang cenderung mencabar kesaksamaannya dan dia menjawab dengan menafikan fakta-fakta yang disarankan itu, maka dia boleh disangkal.

MISALAN

(a) Seorang saksi ditanya sama ada dia pernah dibuang kerja kerana kecurangan. Dia menafikannya.
(b) A menegaskan bahawa pada suatu hari tertentu dia telah melihat B di Melaka. A ditanya sama ada dia sendiri berada di Pulau Pinang pada hari itu. Dia menafikannya.
(c) A ditanya sama ada dia pernah berkata bahawa dia akan membalas dendam terhadap B yang terhadapnya dia memberikan keterangan. Dia menafikannya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.