AKTA 585 AKTA TATACARA MAL MAHKAMAH
SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1998
BAHAGIAN I - PERMULAAN
Seksyen 3. Tafsiran.
(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki makna yang lain-
"Akta Pentadbiran" ertinya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505];
"bailif" termasuklah Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungkan bagi melaksanakan kewajipan seorang bailif;
"borang" ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang disebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinimborkan sedemikian dalam Jadual itu;
"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini;
"Hakim" atau "Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang melantik di bawah Akta Pentadbiran;
"hari kehadiran" ertinya hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan bagi pendengaran prosiding itu;
"lien" ertinya suatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat keterhutangan itu;
"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;
"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;
"notis" ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;
"orang belum dewasa" ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun;
"orang tak berkeupayaan" termasuklah seseorang budak, seseorang orang yang tak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya;
"Peguam Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;
"pemiutang penghakiman" ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman bagi pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;
"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Akta Pentadbiran;
"penghakiman" termasuklah alasan penghakiman;
"penghutang penghakiman" ertinya orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang;
"terjemahan diperakui" ertinya terjemahan apa-apa dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang diterima oleh Mahkamah.
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini tidak ditakrifkan dalam Akta ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta-Kata Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.
(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.