AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993



JADUAL KEDUA


Seksyen 8(3)

1. Kecualian.

Tiada apa-apa jua dalam seksyen 8 boleh disifatkan sebagai membenarkan Majlis membuat perintah untuk menubuhkan apa-apa perbadanan yang mempunyai apa-apa kewajipan, kuasa atau hak yang bukan dalam kewajipan, kuasa atau hak Majlis di bawah Akta ini.

2. Perintah-perintah mempunyai kuatkuasa mengikat.

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, apa-apa perintah yang dibuat di bawah seksyen 8 adalah mengikat perbadanan yang berkenaan dengannya ia dibuat dan hendaklah mempunyai kuatkuasa bagi segala maksud seolah-olah ia telah diperbuat di dalam Akta ini.

3. Pindaan dsb. perintah-perintah.

Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, pada bila-bila masa meminda, membatalkan atau menambah kepada apa-apa perintah yang dibuat berkenaan dengan mana-mana perbadanan di bawah seksyen 8.

4. Daftar perbadanan-perbadanan.

Majlis hendaklah menyimpan satu daftar bagi semua perbadanan yang ditubuhkan olehnya di bawah seksyen 8 dan daftar itu bersekali dengan salinan-salinan semua perintah yang dibuat di bawah seksyen itu hendaklah terbuka kepada pemeriksaan awam di tempat atau tempat-tempat dan pada waktu-waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

5. Penggulungan.

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengarahkan supaya mana-mana perbadanan yang ditubuhkan olehnya digulung dan dibubarkan.

(2) Apabila terbubarnya mana-mana perbadanan di bawah perenggan ini, aset perbadanan itu, setelah dibayar segala liabiliti, hendaklah dipindahkan kepada dan diletakhak pada Majlis.

(3) Penggulungan sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini hendaklah dijalankan mengikut cara yang ditetapkan oleh Majlis.

6. Perbadanan-perbadanan hendaklah menjadi pertubuhan-pertubuhan perbadanan.

Tiap-tiap perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 hendaklah menjadi pertubuhan perbadanan dengan nama yang diberikan kepadanya oleh Majlis dan hendaklah kekal turun-temurun dan mempunyai meterai biasa dan boleh mendakwa dan didakwa atas nama tersebut, dan, bagi maksud memajukan atau menunaikan fungsi-fungsinya, boleh membuat kontrak dan boleh memegang dan mengurusniagakan atau memperlakukan apa-apa harta alih atau tak alih dan boleh melakukan segala perkara dan benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak berlawanan dengan peruntukan-peruntukan Akta ini dan tertakluk kepada apa-apa sekatan yang ditetapkan oleh Majlis dalam setiap satu hal.

7. Meterai perbadanan bagi sesuatu perbadanan.

(1) Tiap-tiap perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan, yang hendaklah mengandungi suatu tanda sebagaimana yang diluluskan oleh perbadanan itu dengan kelulusan Majlis, dan meterai itu boleh dari masa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu oleh perbadanan itu dengan kelulusan Majlis.

(2) Sehingga suatu meterai diadakan oleh sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini, suatu cap yang mengandungi nama perbadanan itu bolehlah digunakan sebagai meterai biasa.

(3) Meterai biasa, atau cap yang disebut dalam subperenggan (2), hendaklah berada dalam jagaan orang yang diarahkan oleh perbadanan dan hendaklah disahkan oleh orang itu; dan segala suratikatan, dokumen dan suratcara lain yang berupa sebagai dimeterai dengan meterai tersebut, dan yang disahkan seperti yang disebutkan terdahulu hendaklah, sehingga dibuktikan sebaliknya disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sahnya.

(4) Apa-apa dokumen atau suratcara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan, tidak akan dikehendaki supaya dibuat di bawah meterai, boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh perbadanan.

(5) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.