AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 78. Kewajipan menanggung nafkah kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga.
(1) Jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.
(2) Kewajipan yang ditanggungkan oleh subseksyen (1) hendaklah terhenti jika kanak-kanak itu dibawa pergi oleh bapa atau ibunya.
(3) Apa-apa wang yang dibelanjakan oleh seseorang lelaki pada menanggung nafkah seseorang kanak-kanak sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (1) boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada bapa atau ibu kanak-kanak itu.