AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Seksyen 89. Kuasa ke atas harta takalih dan harta alih.
(1) Berkenaan dengan harta takalih, seseorang penjaga di sisi undang-undang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menjual, kecuali dalam hal-hal yang berikut, iaitu -
(a) jika, dengan menjual harta itu kepada orang luar, dia boleh mendapat harga sekurang-kurangnya dua kali ganda harga harta itu;
(b) jika kanak-kanak itu tidak mempunyai apa-apa mata pencarian lain, dan penjualan itu adalah benar-benar perlu untuk menanggung nafkahnya, dan kanak-kanak itu tidak mempunyai apa-apa harta lain;
(c) jika harta itu perlu dijual bagi maksud menjelaskan hutang pewasiat, yang tidak dapat diselesaikan jika harta itu tidak dijual;
(d) jika ada sesuatu peruntukan am dalam wasiat pewasiat itu yang tidak dapat dikuatkuasakan dengan tidak dijual harta itu;
(e) jika pendapatan yang terkumpul dari harta pesaka itu tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaan yang telah dilakukan dalam menguruskannya dan untuk membayar hasil tanah;
(f) jika harta itu sedang diancami bahaya yang akan menyebabkannya menjadi musnah atau binasa oleh kerana reput;
(g) jika harta itu ada dalam tangan orang yang tidak berhak kepadanya, dan penjaga itu ada sebab bagi mengkhuatiri bahawa tidak ada peluang bagi mendapatkan pemulihan yang saksama; atau
(h) dalam sesuatu hal lain, jika harta itu benar-benar perlu dijual atas alasan-alasan lain yang dibenarkan oleh Hukum Syara' dan penjualan itu adalah nyata atau jelas sekali untuk faedah kanak-kanak itu.
(2) Berkenaan dengan harta alih, seseorang penjaga di sisi undang-undang adalah mempunyai kuasa menjual atau menyandarkan barang-barang dan hartabenda kanak-kanak itu, jika dia berkehendakkan keperluan-keperluan yang mustahak, seperti makanan, pakaian dan asuhan; dan jika harta alih seseorang kanak-kanak adalah dijual dengan ikhlas dan jujur bagi sesuatu balasan yang memadai dengan tujuan untuk melaburkan hasil jualan itu dengan selamat dan untuk memperolehi pendapatan tambahan, maka penjualan harta itu hendaklah dikira sebagai sah.