AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 14. Perkahwinan seseorang perempuan.
(1) Tiada seseorang perempuan boleh, dalam masa perkahwinannya dengan seorang lelaki berterusan, berkahwin dengan seseorang lelaki lain.
(2) Jika perempuan itu adlaah seorang janda -
(a) tertakluk kepada perenggan (c), dia tidak boleh, pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syara', berkahwin dengan seseorang melainkan kepada lelaki yang akhir dia telah bercerai;
(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan dia telah mengemukakan -
(i) suatu surat perakuan cerai yang sah yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa; atau
(ii) suatu salinan yang diperakui bagi catatan yang berkaitan dengan perceraiannya dalam daftar perceraian yang berkenaan; atau
(iii) suatu perakuan, yang boleh diberi atas permohonannya selepas penyiasatan yang wajar oleh Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana permohonan itu dibuat, yang bermaksud bahawa dia adalah seorang janda;
(c) jika perceraian itu adalah dengan ba-in kubra, iaitu tiga talaq, dia tidak boleh berkahwin semula dengan suaminya yang dahulu itu melainkan dia telah berkahwin dengan sah dengan seorang lain dan dia telah disetubuhi oleh seorang lain itu dalam perkahwinan itu dan perkahwinan itu dibubarkan kemudiannya dengan sah dan setelah habis 'iddahnya.
(3) Jika perempuan itu mendakwa telah bercerai sebelum dia telah disetubuhi oleh suaminya dalam perkahwinan itu, dia tidak boleh, dalam masa 'iddah perceraian biasa, berkahwin dengan seseorang yang lain daripada suaminya yang dahulu itu, kecuali dengan kebenaran Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat pengantin perempuan itu bermastautin.
(4) Jika perempuan itu adalah seorang balu -
(a) dia tidak boleh berkahwin dengan seseorang pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syara' ;
(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan dia telah mengemukakan surat perakuan kematian suaminya atau dengan cara lain membuktikan kematian suaminya.