AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VIII - PELBAGAI
Seksyen 109. Pengiktirafan perkahwinan-perkahwinan yang dilakukan di Kedutaan-kedutaan, dsb., di Wilayah Persekutuan.
(1) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang bukan warganegara Malaysia yang dilakukan di sesuatu Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul negara asing di Wilayah Persekutuan hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Akta ini jika -
(a) perkahwinan itu telah dilakukan mengikut cara yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang negara Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu, atau mengikut cara yang dibenarkan di bawah Akta ini;
(b) tiap-tiap satu pihak itu ada mempunyai, pada masa perkahwinannya itu, keupayaan berkahwin di bawah undang-undang tempat bermastautinnya; dan
(c) jika salah satu pihak itu adlaah seorang pemastautin di Wilayah Persekutuan, kedua-dua pihak ada mempunyai keupayaan berkahwin mengikut Akta ini.
(2) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di bawah subseksyen (1) tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini jika perkahwinan itu tetap bersalahan dengan seksyen 23 sekiranya perkahwinan itu dilakukan dalam Wilayah Persekutuan di luar Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul negara itu.