AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 18. Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syar'iah.
(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu -
(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam seksyen 8; atau
(b) jika pihak perempuan adalah seorang janda yang tersabit oleh seksyen 14 (3); atau
(c) jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syara',
maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat perempuan itu bermastautin.
(2) Hakim Syar'iah, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu dan tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud-maksud seksyen 8, atau kebenaran bagi maksud-maksud seksyen 14 (3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali Raja bagi maksud-maksud seksyen 13 (b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya dan setelah dibayar fee yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.