AKTA 560
AKTA PROSEDUR JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 4 - PERUNTUKAN KHAS YANG BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN



Seksyen 192. Prosedur apabila orang yang dapat memberikan keterangan material sakit tenat.


(1) Bilamana ternyata kepada seseorang Hakim bahawa mana-mana orang yang dapat memberikan keterangan material sama ada bagi pihak pendakwa atau pihak pembela berhubungan dengan sesuatu kesalahan boleh tangkap sakit tenat sehinggakan tidak praktik untuk mengambil keterangannya mengikut perjalanan biasa undang-undang, Hakim itu boleh mengambil deposisi orang itu dengan syarat apa-apa notis yang munasabah sebagaimana yang mungkin dalam kes itu telah diberikan kepada Pendakwa dan tertuduh tentang cadangan mengambil deposisi itu dan tentang masa dan tempat di mana Hakim itu bercadang mengambilnya.

(2) Jika tertuduh berada dalam jagaan, seorang Hakim boleh memerintahkan pegawai yang menjaga penjara itu menghantar tertuduh ke tempat itu pada waktu yang telah diberitahukan dan pegawai itu hendaklah menghantarnya dengan sewajarnya.

(3) Apabila dibuktikan pada perbicaraan tertuduh atas mana-mana kesalahan yang berhubungan dengan deposisi itu bahawa deponennya telah mati atau bahawa kerana apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperoleh, deposisi itu bolehlah dibacakan sama ada bagi atau terhadap tertuduh, walaupun dia tidak hadir semasa deposisi itu diambil, jika deposisi itu diperakui di bawah tandatangan Hakim yang mengambilnya dan yang sebaliknya tidak dibuktikan, atau jika ditunjukkan melalui keterangan ekstrinsik bahawa deponen memang pada masa pemeriksaannya sakit tenat sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1) dan bahawa deposisi itu telah diambil dengan sewajarnya di tempat dan pada masa yang diberitahukan itu dan bahawa notis yang munasabah tentang niat untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang yang terhadapnya deposisi itu dikemukakan sebagai keterangan, supaya dia atau Peguam Syarienya dapat hadir dan mendapat, jika dia memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.