AKTA 560
AKTA PROSEDUR JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 1 - ORANG TAK SEMPURNA AKAL



Seksyen 180. Prosedur jika tertuduh disyaki tak sempurna akal.


(1) Jika Hakim yang menjalankan suatu siasatan atau perbicaraan mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa orang tertuduh tak sempurna akal dan dengan demikian tak berupaya membuat pembelaannya, dia hendaklah terlebih dahulu menyiasat hakikat ketaksempurnaan akal itu.

(2) Dalam penyiasatan itu orang tertuduh tidak perlu hadir dan Hakim boleh menerima sebagai keterangan suatu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan yang bermaksud bahawa pada pendapatnya orang tertuduh itu tak sempurna akal atau seorang yang patut ditahan di hospital mental untuk pemerhatian, atau jika difikirkannya patut Hakim itu boleh mengambil keterangan lisan daripada seorang Pegawai Perubatan Kerajaan tentang keadaan akal fikiran orang tertuduh itu.

(3) Jika Hakim tidak berpuas hati bahawa orang itu berupaya membuat pembelaanya, Hakim itu boleh menangguhkan siasatan atau perbicaraan itu dan hendaklah menahan orang itu selama suatu tempoh tidak melebihi sebulan di mana-mana hospital mental di Malaysia untuk pemerhatian.

(4) Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam permerhatian sepanjang tempoh penahanannya itu dan, sebelum habis tempoh itu -
(5) Pendakwa Syarie boleh pada mana-mana peringkat apa-apa prosiding sebelum perbicaraan dijalankan, memerintahkan supaya mana-mana orang tertuduh yang disyakinya tak sempurna akal dihantar ke hospital mental untuk permerhatian selama suatu tempoh yang tidak melebihi sebulan; dan Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam pemerhatian selama tempoh itu dan sebelum habis tempoh itu hendaklah memperakui di bawah tandatangannya pendapatnya tentang keadaan akal fikiran orang itu kepada Pendakwa Syarie; dan jika Penguasa Perubatan itu tidak dapat dalam tempoh itu membuat apa-apa kesimpulan yang pasti, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie bolehlah memerintahkan supaya orang itu ditahan di hospital mental itu selama suatu tempoh selanjutnya yang tidak melebihi dua bulan.

(6) Penguasa Perubatan sesuatu hospital mental boleh, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Ordinan Penyakit Mental 1952 [Ord. 31/52], menahan mana-mana orang tertuduh yang berkenaan dengannya suatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen (5) selama suatu tempoh yang tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu.

(7) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh sempurna akal dan berupaya membuat pembelaannya, Hakim hendaklah meneruskan perbicaraan itu.

(8) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaanya, Mahkamah hendaklah, jika berpuas hati tentang hakikat itu, membuat dapatan yang sewajarnya dan sesudah itu perbicaraan hendaklah ditangguhkan.

(9) Perakuan Penguasa Perubatan hendaklah diterima sebagai keterangan di bawah seksyen ini.

(10) Jika orang tertuduh diperakui tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaannya, maka dia tidak perlu hadir di dalam Mahkamah semasa prosiding di bawah seksyen ini dan Mahkamah boleh memerintahkan pelepasan atau pembebasannya.

(11) Dalam seksyen ini, perkataan "hospital mental" ertinya sesuatu hospital mental yang ditubuhkan atau disenggarakan di bawah Ordinan Penyakit Mental 1952.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.