AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN I - PERMULAAN
Seksyen 2. Tafsiran.
(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan -
"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;
"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;
"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;
"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara';
"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;
"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1952 bagi Negeri Selangor [Enakmen Selangor 3/52.] seperti yang diubahsuai oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syara') 1974 [P.U.(A) 44/74.] dibuat menurut seksyen 6 (4) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1973 [Akta A206] dan berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan menurut seksyen 6 Akta itu;
"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara' mengikut seksyen 52;
"Hakim Syar'iah" ertinya seorang Kadi yang dilantik di bawah seksyen 43 Enakmen Pentadbiran, dan termasuk Kadi Besar;
"Hukum Syara'" ertinya Undang-Undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah;
"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara';
"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;
"kariah", berhubungan dengan sesuatu masjid. ertinya kawasan, yang sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 114 Enakmen Pentadbiran, dalam mana masjid itu terletak;
"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;
"Kitabiyah" ertinya -
(a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau
(b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau
(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi 'Isa menjadi Rasul;
"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi atau Kadi Besar, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 44 Enakmen Pentadbiran;
"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 Enakmen Pentadbiran;
"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Huku Syara', dapat dinilai dengan wang;
"mut'ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara' kepada isteri yang diceraikan;
"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;
"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;
"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;
"ruju' " ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;
"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;
"ta' liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syara' dan peruntukan Akta ini;
"tak sahtaraf", berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;
"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Akta ini;
"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;
"wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab.
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.
(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadul, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.
(4) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.