AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 54. Penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembatalan.


(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyenggara suatu Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah serta-merta mencatatkan di dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah subseksyen (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah subseksyen (3) untuk didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenar dan merekodkan sesuatu talaq atau apa-apa lain bentuk perceraian hendaklah serta merta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Wilayah Persekutuan adalah dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang layak berbidangkuasa di luar Wilayah Persekutuan, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan perintah itu, dan Pendaftar yang berkenaan itu dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuas hati bahawa perintah itu adalah satu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud-maksud undang-undang dalam Wilayah Persekutuan.

(4) Jika sesuatu lafaz talaq di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana jua telah diberi, telah membubarkan sesuatu perkahwinan yang telah diakadnikahkan dalam Wilayah Persekutuan dan telah didaftarkan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa sebelum Akta ini, Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talaq atau perintah itu, mengarahkan supaya catatan mengenai perkahwinan itu dalam Daftar Perkahwinan ditandakan dengan perkataan "Dibubarkan" dan dengan rujukan mengenai perbicaraan dalam mana talaq itu telah dilafazkan atau perintah itu telah dibuat.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talaq atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan apabila dibayar kepadanya fee yang ditetapkan, Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat perakuan cerai dan pembatalan dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.