AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Seksyen 106. Kuasa bagi Mahkamah membatalkan dan menahan perpindahan-perpindahan yang dimaksud untuk mengecewakan tuntutan-tuntutan nafkah.
Relif-relif Lain
(1) Jika -
(a) sesuatu perbicaraan hal-ehwal suami-isteri belum selesai; atau
(b) sesuatu perintah telah dibuat di bawah seksyen 56, 59, atau 73 dan belum lagi membatalkan; atau
(c) nafkah kena dibayar di bawah sesuatu perjanjian kepada atau untuk faedah seorang isteri atau isteri yang dahulu atau anak,
Mahkamah adalah berkuasa atas permohonan -
(i) jika ia berpuas hati bahawa apa-apa perpindahan harta telah dilakukan oleh suami atau suami yang dahulu atau ibu atau bapa bagi orang yang telah membuat atau yang bagi pihaknya telah dibuat permohonan itu, dalam masa tiga tahun sebelumnya, dengan tujuan di pihak orang yang melakukan perpindahan itu hendak mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau kemampuan suami itu membayar mut'ah atau hendak menghalangi isterinya daripada apa-apa hak berhubungan dengan harta itu, tertakluk kepada subseksyen (2), menghendaki orang yang membuat perpindahan itu membatalkan perpindahan itu; dan
(ii) jika ia berpuas hati bahawa sesuatu perpindahan harta dicadang hendak dilakukan dengan sesuatu tujuan yang demikian, memberi suatu tegahan menahan perpindahan itu.
(2) Bagi maksud-maksud seksyen ini -
"harta" ertinya apa-apa jenis harta, alih atau takalih, dan termasuklah wang;
"perpindahan" termasuklah sesuatu penjualan, pemberian, pajakan, gadai janji, atau apa-apa transaksi lain yang dengannya pemunyaan atau pemilikan harta itu adalah dipindahmilik atau dibebankan tetapi tidak termasuk sesuatu perpindahan yang dilakukan kerana wang atau sesuatu bernilai wang kepada atau untuk faedah seseorang yang bertindak dengan suci hati dan dengan tidak mengetahui tujuan perpindahan itu dilakukan.
(3) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.