AKTA 505 AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993
BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 41. Perlantikan Ketua Hakim Syarie.
(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis, melantik seorang Ketua Hakim Syarie.
(2) Seseorang itu layak dilantik di bawah subseksyen (1) jika--
(a) dia seorang warganegara; dan
(b) dia--
(i) selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Kathi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula; atau
(ii) seorang yang arif tentang Hukum Syarak.
(3) Orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, memegang jawatan Kathi Besar di bawah subseksyen (1) seksyen 43 Enakmen dan melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman hendaklah, apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, terus memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie seoleh-olah dia telah dilantik di bawah subseksyen (1).
(4) Perlantikan di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta.