AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN VII - JAGAAN
Jagaan ke atas Orang dan Harta




Seksyen 99. Perintah khas mengenai harta kecil

(1) Jika didapati, setelah mengambil kira kepada taraf kehidupan kanak-kanak itu dan kepada nilai hartanya dan juga kepada segala hal keadaan kes yang berkenaan adalah didapati suai manfaat supaya harta modal kanak-kanak itu digunakan bagi menanggung nafkah, pelajaran, atau kemajuannya dengan cara yang boleh mengelakkan perbelanjaan bagi membuat permohonan kepada Mahkamah, maka Mahkamah, daripada melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu, boleh memerintahkan supaya segala harta kanak-kanak itu, dari apa jua jenis pun, diletakkan dalam tangan seseorang yang akan dilantik oleh Mahkamah, dengan kuasa penuh untuk membuat apa-apa urusan dan untuk menggunakan harta itu bagi maksud yang tersebut di atas menurut budi bicaranya sendiri bebas dari apa-apa kawalan; dan dalam hal yang demikian resit dari orang yang dilantik itu adalah menjadi akuan penyelesaian yang sewajarnya bagi sesiapa jua yang membuat apa-apa pembayaran atau pindah milik apa-apa harta kepadanya bagi pihak kanak-kanak itu.

(2) Mana-mana orang yang dilantik di bawah subseksyen (1) boleh diperintahkan oleh Mahkamah supaya mengemukakan suatu akaun mengenai urusan yang dibuat olehnya mengenai harta kanak-kanak itu.

(3) Mahkamah boleh, kerana apa-apa sebab yang memadai, membatalkan apa-apa perintah, atau membatalkan apa-apa pelantikan, yang dibuat di bawah subseksyen (1), dan boleh melantik seseorang lain dengan memberi kepadanya kuasa yang sama atau apa-apa kuasa yang lebih besar atau lebih kecil yang difikirkannya patut, atau boleh melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.




Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.