AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 73. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak
(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana
anaknya—
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri; atau
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.
(2) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa bersamaan memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak supaya membayar atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.
(3) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang amanah bagi anak itu.