AKTA 561 AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997
BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN BAB 1 - FAKTA YANG TIDAK PERLU DIBUKTIKAN
Seksyen 44. Fakta yang mengenainya Mahkamah mesti memberikan pengiktirafan kehakiman.
(1) Mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai fakta yang berikut:
(a) semua undang-undang yang kini mempunyai kuatkuasa undang-undang atau yang sebelum ini berkuatkuasa atau yang kemudian daripada ini akan berkuatkuasa di Malaysia;
(b) tatakawalan angkatan tentera bagi angkatan tentera atau mana-mana angkatan pelawat yang berada di Malaysia secara sah;
(c) perjalanan prosiding di dalam Parlimen dan di dalam badan perundangan mana-mana Negeri di Malaysia;
(d) perihal naik takhta Yang di-Pertuan Agong dan naik takhta Sultan mana-mana Negeri di Malaysia dan perlantikan Yang di-Pertua Negeri;
(e) meterai semua Mahkamah di Malaysia, semua meterai yang mana-mana orang diberikuasa untuk menggunakannya oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Malaysia dan meterai notari awam;
(f) perihal jawatan mula dipegang, nama, gelaran, fungsi dan tandatangan orang yang sedang menyandang mana-mana jawatan awam di Malaysia, jika hakikat pelantikannya kepada jawatan itu diberitahu dalam Warta atau dalam mana-mana Warta Negeri;
(g) perjalanan biasa alam, penbahagian waktu semula jadi dan rekaan, pembahagian dunia mengikut geografi, pengertian perkataan Melayu, Inggeris dan Arab, hari-hari perayaan awam, puasa dan kelepasan awam yang diberitahu dalam Warta atau dalam mana-mana Warta Negeri;
(h) nama anggota dan pegawai Mahkamah serta timbalan dan pegawai bawahan dan pembantu mereka, dan juga nama semua pegawai yang bertindak melaksanakan proses Mahkamah, dan nama semua Peguam Syarie dan orang lain yang dibenarkan oleh undang-undang untuk hadir atau bertindak di hadapannya;
(i) kaedah-kaedah jalan di darat, peraturan-peraturan laut dan kaedah-kaedah udara;
(j) segala perkara lain yang Mahkamah diarahkan oleh mana-mana undang-undang bertulis supaya mengiktiraf.
(2) Dalam segala hal ini, dan juga mengenai segala perkara mengenai sejarah awam, sastera, sains atau seni, Mahkamah boleh menggunakan buku atau dokumen rujukan yang sesuai untuk membantunya.
(3) Jika Mahkamah diminta oleh mana-mana orang supaya memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai apa-apa fakta, ia boleh enggan berbuat demikian melainkan jika dan sehingga orang itu mengemukakan apa-apa buku atau dokumen sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi membolehkannya berbuat demikian.