ENAKMEN 2 TAHUN 2002 ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2002
Seksyen 12. Pindaan seksyen 20
Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 20 dengan seksyen yang berikut:
“Seksyen 20. Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Agama.
(1) Majlis hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Agama dan melantik—
(a) seorang Pengerusi;
(b) seorang Timbalan Pengerusi;
(c) tiga orang ulama; dan
(d) tiga orang lain yang mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam hal ehwal pendidikan agama Islam.
(2) Bagi maksud perenggan 20(1)(b) Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan hendaklah menjadi Timbalan Pengerusi.
(3) Elaun bolehlah dibayar kepada ahli Jawatankuasa seperti yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini.
(4) Mana-mana pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang diberi kuasa oleh Majlis hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa dan hendaklah bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusan Jawatankuasa.
(5) Jawatankuasa boleh mengeluarkan tauliah mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan juga boleh menarik balik tauliah tersebut.
(6) Setiap kebenaran bertulis mengenai aspek agama Islam yang dikeluarkan atau yang telah dikeluarkan bagi maksud Enakmen ini hendaklah dianggap sebagai tauliah yang diberi di bawah seksyen ini.
(7) Jawatankuasa hendaklah membantu Majlis dalam menjalankan pentadbiran Sekolah Islam termasuk memberi apa-apa nasihat teknik dan nasihat mengenai penggunaan buku teks, kurikulum, peperiksaan serta pengambilan dan latihan guru.”.