ENAKMEN 10 TAHUN 1998
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH (PINDAAN) (NO.2) 1998.



Seksyen 6. Penggantian seksyen 22.

Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 22 dengan seksyen yang berikut:

"Seksyen 22. Tindakan bersaling.

(1) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri yang dinyatakan dalam Jadual Pertama mengeluarkan waran atau saman, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri tersebut untuk dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada seseorang yang berada atau dipercayai berada dalam Negeri Kelantan, maka mana-mana Hakim Syarie boleh mengendors waran atau saman itu dengan menandatanganinya dan waran atau saman itu boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu seolah-olah waran atau saman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Kelantan menurut peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri Kelantan.

(2) Jika Mahkamah Syariah dalam Negeri Kelantan mengeluarkan waran yang memberikan kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman yang memanggil mana-mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah, dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam mana-mana Negeri yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan waran atan saman itu telah dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu menurut mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri tersebut, maka waran atau saman itu hendaklah disifatkan telah dilaksanakan atau disampaikan dengan sah seolah-olah pelaksanaan atau penyampaian itu telah dilaksanakan atau disempurnakan dalam Negeri Kelantan.

(3) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri yang dinyatakan dalam Jadual Pertama membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri tersebut terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Kelantan, maka Hakim Syarie, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh Mahkamah Syariah yang kompeten dalam mana-mana Negeri tersebut, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sah oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Kelantan menurut peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri Kelantan.

(4) Jika Mahkamah Syariah dalam Negeri Kelantan membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam Negeri Kelantan terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam mana-mana Negeri yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, maka Hakim Syarie dalam Negeri tersebut, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dibuat oleh Mahkamah Syariah yang kompeten dalam Negeri Kelantan, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dibuat dengan sah oleh mana-mana Mahkamah Syariah dalam Negeri tersebut menurut peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri itu.

(5) Raja boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual Pertama.";

Diluluskan pada 7 November 1998.
[P.U. Kn. 1/G/33; SUK. (S) D. 200/420/1/2 Jld. 47.]

AHMAD ROBERT BIN ABD. RAHIM,
Setiausaha,
Dewan Negeri Kelantan



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.