ENAKMEN 11 TAHUN 1994
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK (PINDAAN) NEGERI MELAKA 1994
Seksyen 2. Seksyen baru 23B, 23C dan 23D.
Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) 1991[En. 5/1991], yang disebut "Enakmen ibu" dalam Enakmen ini, adalah dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 23A, seksyen baru 23B, 23C dan 23D yang berikut:
"Seksyen 23B. Tatatertib pegawai-pegawai dan pengkhidmat Majlis.
(1) Maka hendaklah ada suatu Lembaga Tatatertib bagi Majlis yang hendaklah terdiri daripada-
(a) dua orang anggota yang akan dipilih oleh dan daripada ahli-ahli Majlis, yang seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai Pengerusi; dan
(b) Setiausaha.
(2) Pihak berkuasa tatatertib berkenaan dengan tiap-tiap pegawai dan pengkhidmat Majlis, selain daripada Setiausaha, ialah Lembaga Tatatertib yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1).
(3) Lembaga tatatertib berkenaan dengan Setiausaha hendaklah terdiri daripada tiga orang anggota yang akan dipilih oleh dan daripada ahli-ahli MajIis, yang seorang daripadanya hendaklah dilantik sebagai Pengerusi; dengan syarat bahawa jika Setiausaha adalah seorang pegawai dalam perkhidmatan awam am Persekutuan dia hendaklah tertakluk kepada Lembaga Tatatertib Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang berkenaan.
(4) Setiausaha tidak boleh menjadi anggota Lembaga Tatatertib atau Jawatankuasa Tatatertib yang ditubuhkan di bawah subseksyen (6) dalam apa-apa prosiding di hadapan Lembaga atau Jawatankuasa itu yang dia menjadi pengadu; tempatnya hendaklah diambil oleh anggota yang akan dipilih oleh dan daripada ahli-ahli Majlis.
(5) Pada menjalankan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa tatatertibnya, Lembaga Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk mengenakan apa-apa hukuman tatatertib sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana kaedah yang boleh dibuat di bawah seksyen 75.
(6) Lembaga Tatatertib boleh, tertakluk kepada subseksyen (7), mewakilkan mana-mana fungsi dan kuasa tatatertibnya kepada mana-mana jawatankuasa pegawai atau pengkhidmat Majlis yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tatatertib, berkenaan dengan mana-mana pegawai atau pengkhidmat tertentu Majlis, atau berkenaan dengan mana-mana golongan atau kategori pegawai atau pengkhidmat Majlis, dan Jawatankuasa Tatatertib yang diwakilkan dengan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa sedemikian hendaklah boleh melaksanakan, menjalankan atau menunaikannya di bawah arahan dan kawalan Lembaga Tatatertib yang hendaklah mempunyai kuasa untuk mengkaji semula, membatalkan atau mengubah apa-apa keputusan atau dapatan jawatankuasa itu.
(7) Tiada perwakilan boleh dibuat di bawah subseksyen (6) untuk membolehkan seseorang pegawai atau pengkhidmat Majlis menjadi anggota mana-mana Jawatankuasa Tatatertib yang boleh menjalankan apa-apa kuasa tatatertib ke atas seseorang pegawai atau pengkhidmat yang berpangkat lebih tinggi daripadanya.
Seksyen 23C. Lembaga Rayuan Tatatertib.
(1) Maka hendaklah ada suatu Lembaga Rayuan Tatatertib bagi Majlis yang hendaklah terdiri daripada-
(a) Pengerusi Majlis sebagai Pengerusi;
(b) Setiausaha Kerajaan Negeri; dan
(c) Penasihat Undang-Undang Negeri.
(2) Mana-mana pegawai atau pengkhidmat Majlis yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Tatatertib atau mana-mana Jawatankuasa Tatatertib yang diwakilkan dengan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa di bawah subseksyen (6) seksyen 23B boleh, dalam masa empat belas hari, merayu secara bertulis terhadap keputusan itu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib yang boleh sesudah itu mengesahkan, mengakaskan atau memberi apa-apa arahan mengenai perkara itu sebagaimana yang difikirkannya patut dan wajar.
(3) Apabila Lembaga Rayuan Tatatertib mempertimbangkan apa-apa rayuan di bawah subseksyen (2), tiada anggota Lembaga Tatatertib atau Jawatankuasa Tatatertib, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat, boleh menghadiri apa-apa prosiding berhubungan dengan rayuan itu.
(4) Keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib mengenai rayuan itu adalah muktamad dan konklusif.
Seksyen 23D. Surcaj.
(1) Sekiranya ternyata kepada Majlis bahawa mana-mana orang yang sedang atau telah bekerja dengan Majlis.
(a) telah gagal mengutip apa-apa wang yang terhutang pada Majlis yang pemungutan-pemungutannya menjadi tanggungjawabnya;
(b) adalah atau telah bertanggungjawab atas apa-apa pembayaran wang daripada Kumpulan Wang yang tidak sepatutnya dibuat atau atas apa-apa pembayaran wang yang tidak diluluskan dengan sewajarnya;
(c) adalah atau telah bertanggungjawab, secara langsung atau tidak langsung, atas apa-apa kekurangan pada, atau atas pemusnahan, apa-apa wang, setem, sekuriti, storan atau harta lain Majlis;
(d) sebagai, atau yang pernah menjadi, pegawai perakaunan, gagal atau telah gagal menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya; atau
(e) telah gagal membuat apa-apa bayaran, atau adalah atau telah bertanggungjawab atas apa-apa kelambatan dalam pembayaran, wang daripada Kumpulan Wang, kepada mana-mana orang yang kepadanya bayaran itu kena dibuat di bawah mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan yang dibuat di antara orang itu dengan Majlis,
Majlis hendaklah menyampaikan suatu notis bertulis kepadanya yang memintanya menunjukkan sebab mengapa dia tidak sepatutnya disurcajkan, dan jika penjelasan yang memuaskan hati tidak diberikan kepada Majlis, dalam masa empat belas hari dari tarikh penyampaian notis yang disebutkan terdahulu, berkenaan dengan kegagalan mengutip, bayaran yang tidak sepatutnya dibuat, bayaran yang tidak diluluskan dengan sewajarnya, kekurangan atau pemusnahan, atau kegagalan menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya, atau kegagalan membuat bayaran, atau kelambatan dalam membuat bayaran, maka Majlis boleh mensurcajkan sejumlah wang terhadap orang tersebut yang tidak melebihi amaun apa-apa amaun sedemikian yang tidak dikutip, apa-apa bayaran, kekurangan, atau kerugian atau nilai harta yang musnah, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan berkenaan dengan kegagalan menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya, atau kegagalan membuat bayaran, atau kelambatan dalam membuat bayaran, Majlis boleh mensurcajkan apa-apa jumlah wang terhadap orang tersebut sebagaimana yang difikirkan patut oleh MajIis.
(2) Pengerusi hendaklah menyebabkan Setiausaha diberitahu tentang apa-apa surcaj yang dibuat di bawah subseksyen (1) Dan Setiausaha hendaklah sesudah itu memberitahu orang yang disurcajkan itu.
(3) Majlis boleh pada bila-bila masa menarik balik apa-apa surcaj yang berkenaan dengannya penjelasan yang memuaskan hati telah diterima atau jika ternyata selainnya bahawa tiada surcaj patut dibuat, Dan Pengerusi hendaklah dengan segera menyebabkan Setiausaha diberitahu tentang penarikan balik itu.
(4) Amaun apa-apa surcaj yang dibuat di bawah subseksyen (1) Dan tidak ditarik balik di bawah subseksyen (3) hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar kepada Majlis daripada orang yang terhadapnya surcaj itu dibuat dan boleh didakwa dan didapatkan kembali dalam mana-mana mahkamah atas guaman Majlis Dan boleh juga didapatkan kembali melalui potongan-
(a) daripada gaji orang disurcajkan jika Majlis arahkan sedemikian; atau
(b) daripada pencen orang disurcajkan jika Majlis arahkan sedemikian,
dengan ansuran bulanan yang sama banyak tidak melebihi satu perempat daripada jumlah gaji atau pencen bulanan, mengikut mana-mana yang berkenaan, orang itu."
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.