ENAKMEN 7 TAHUN 1989 ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG (PINDAAN) (NO. 2) 1989
Seksyen 8. Pindaan seksyen 236.
Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 236 dengan yang berikut-
"Seksyen 236. Peguam Syariah.
(1) Mana-mana pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan yang berugama Islam boleh hadir dan menjadi wakil sesuatu pihak dalam mana-mana Mahkamah atau Mahkamah Ulang Bicara.
(2) Selain daripada pegawai undang-undang yang disebut dalam seksyen-kecil (1), mana-mana peguambela dan peguamcara yang berugama Islam yang mempunyai sijil amalan yang sah yang dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [ Akta 166. ] dan mana-mana orang lain yang berugama Islam yang difikirkan layak oleh Majlis boleh juga hadir dan menjadi wakil sesuatu pihak dalam mana-mana Mahkamah atau Mahkamah Ulang Bicara.
(3) Kecuali pegawai undang-undang yang disebut dalam seksyen-kecil (1), tiap-tiap orang yang disebut dalam seksyen-kecil (2) hendaklah mempunyai suatu sijil yang dinamakan "Sijil Peguam Syariah" yang dikeluarkan oleh Majlis dan ditandatangani oleh Yang di-Pertua setelah membayar fee sebagaimana ditetapkan.
(4) Majlis hendaklah menyediakan sesuatu daftar yang dinamakan "Daftar Peguam Syariah" yang mengandungi nama-nama dan butir-butir mereka yang telah diterima" masuk sebagai Peguam Syariah dan yang telah dikeluarkan kepadanya Sijil Peguam Syariah.
(5) Sijil Peguam Syariah yang dikeluarkan di bawah seksyen-kecil (3) hendaklah sah digunakan selama satu tahun mulai dari tarikh ia dikeluarkan:
Dengan syarat bahawa Majlis boleh membatalkannya pada bila-bila masa.".