ENAKMEN 4 TAHUN 2000 ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG (PINDAAN) 2000
Seksyen 3. Seksyen baru 25A hingga 25M.
Enakmen ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 25 seksyen-seksyen yang berikut-
"Seksyen 25A. Perlantikan pegawai dan pekhidmat Majlis.
(1) Majlis boleh melantik atau mengambil kerja apa-apa bilangan pegawai dan pekhidmat yang difikirkannya perlu untuk membantunya menjalankan fungsi-fungsinya di bawah Enakmen mengikut terma-terma dan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis.
(2) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat peraturan-peraturan mengenai syarat perkhidmatan pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.
Seksyen 25B. Tatatertib.
Majlis hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas semua pegawai dan pekhidmatnya dan hendaklah menjalankan kawalan tatatertib berkenaan dengan semua orang sedemikian.
Seksyen 25C. Jawatankuasa tatatertib.
(1) Majlis boleh menubuhkan jawatankuasa tatatertib yang berlainan bagi kategori yang berlainan pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.
(2) Peruntukan yang berikut hendaklah terpakai bagi sesuatu jawatankuasa tatatertib yang ditubuh di bawah subseksyen (1):
(a) sesuatu jawatankuasa tatatertib hendaklah terdiri daripada apa-apa bilangan anggota Majlis, selain Yang di-Pertua, atau pegawai Majlis atau apa-apa kombinasi anggota dan pegawai itu; dan
(b) seseorang pegawai yang menjadi anggota sesuatu jawatankuasa tatatertib tidaklah boleh lebih rendah pangkatnya daripada seseorang pegawai atau pekhidmat yang ke atasnya jawatankuasa tatatertib yang dianggotainya mempunyai kuasa tatatertib.
(3) Sesuatu jawatankuasa tatatertib yang ditubuh di bawah subseksyen (1) hendaklah menjalankan kuasanya dalam segala perkara yang berhubungan dengan tatatertib pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat yang diletakkan di bawah bidang kuasanya.
(4) Pada menjalankan fungsi dan kuasa tatatertibnya, sesuatu jawatankuasa tatatertib yang dirujuk di bawah subseksyen (1) hendaklah mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib dan mengenakan apa-apa hukuman tatatertib atau apa-apa kombinasi dua hukuman tatatertib atau lebih sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana peraturan tatatertib yang dibuat di bawah seksyen 25D.
Seksyen 25D. Kuasa membuat peraturan tatatertib.
(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat peraturan untuk mengadakan peruntukan bagi tatatertib pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.
(2) Peraturan-peraturan tatatertib yang dibuat di bawah seksyen ini:
(a) boleh mewujudkan kesalahan tatatertib;
(b) boleh mengadakan peruntukan bagi hukuman tatatertib yang difikirkan sesuai oleh Majlis dan hukuman itu boleh meliputi:
(i) amaran;
(ii) denda;
(iii) pelucuthakan emolumen;
(iv) penangguhan pergerakan gaji;
(v) pengurangan gaji;
(vi) penurunan pangkat; dan
(vii) buang kerja;
(c) hendaklah memberi peluang kepada pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat yang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil untuk membuat representasi terhadap pertuduhan tatatertib yang dibuat terhadapnya sebelum keputusan dicapai oleh jawatankuasa tatatertib kecuali dalam hal-hal yang berikut:
(i) jika seseorang pegawai atau pekhidmat MajIis dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan salah laku yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadapnya;
(ii) jika MajIis, atas syor Menteri yang dipertanggungkan dengan hal ehwal dalam negeri, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya adalah tidak suaimanfaat untuk menjalankan kehendak perenggan ini; atau
(iii) jika telah-
(A) dibuat terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat Majlis apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran; atau
(B) dikenakan terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat MajIis apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya,
di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, pencegahan tahanan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau pelindungan wanita dan gadis;
(d) boleh mengadakan peruntukan bagi penahanan kerja dengan pengurangan emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat Majlis semasa menanti selesainya prosiding jenayah atau prosiding tatatertib terhadapnya dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat;
(e) boleh mengadakan peruntukan bagi penggantungan tanpa emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat MajIis:
(i) jika pegawai atau pekhidmat itu telah disabitkan oleh suatu mahkamah jenayah; atau
(ii) jika suatu perintah tahanan atau sekatan telah dibuat berkenaan dengan atau dikenakan ke atas pegawai atau pekhidmat itu; dan
(f) boleh mengadakan peruntukan bagi tatacara pendengaran rayuan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib yang ditubuhkan di bawah seksyen 25E.
Seksyen 25E.Lembaga Rayuan Tatatertib.
(1) Sesuatu keputusan jawatankuasa tatatertib di bawah seksyen 25c boleh dirayukan kepada Lembaga Rayuan Tatatertib yang hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
(a) Yang di-Pertua, yang hendaklah menjadi Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib dan mempunyai undi pemutus; dan
(b) dua orang ahli Majlis yang lain, yang bukan anggota jawatankuasa tatatertib yang keputusannya ialah hal perkara rayuan itu, yang hendaklah dilantik oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib dengan kelulusan Majlis bagi maksud rayuan itu.
(2) Apabila Lembaga Rayuan Tatatertib menimbangkan sesuatu rayuan di bawah seksyen ini, anggota jawatankuasa tatatertib yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat yang adalah juga anggota Majlis tidak boleh hadir atau dengan apa-apa cara mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan rayuan itu.
(3) Lembaga Rayuan Tatatertib boleh mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan jawatankuasa tatatertib.
Seksyen 25F.Alasan bagi surcaj.
(1) Seseorang yang sedang atau pernah berada dalam penggajian Majlis boleh disurcaj jika ternyata kepada Majlis bahawa orang itu:
(a) tidak atau telah gagal untuk memungut apa-apa wang yang terhutang kepada Majlis yang bagi pemungutannya dia adalah atau telah dipertanggungjawabkan;
(b) adalah atau pernah bertanggungjawab bagi apa-apa pembayaran wang yang tidak sepatutnya daripada MajIis atau bagi apa-apa pembayaran wang yang tidak diluluskan dengan sewajarnya;
(c) adalah atau telah bertanggungjawab, secara langsung atau tidak langsung, bagi apa-apa kekurangan dalam, atau bagi pemusnahan, apa-apa wang, barang-barang simpanan atau harta lain MajIis;
(d) sebagai atau semasa menjadi pegawai perakaunan, tidak atau telah tidak menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya; atau
(e) tidak membuat apa-apa pembayaran, atau adalah atau pernah bertanggungjawab bagi apa-apa kelewatan dalam pembayaran wang daripada Majlis kepada mana-mana orang yang kepadanya pembayaran itu kena dibuat di bawah mana-mana undang-undang atau di bawah mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan yang dibuat antara orang itu dengan MajIis.
(2) Dalam seksyen ini, "pegawai perakaunan", termasuklah seseorang pegawai dan pekhidmat yang dipertanggungkan dengan:
(a) kewajipan untuk memungut, menerima atau mengakaunkan, atau yang sebenarnya memungut, menerima atau mengakaunkan, apa-apa wang Majlis;
(b) kewajipan untuk membuat pembayaran, atau yang sebenarnya membuat pembayaran, apa-apa wang Majlis; atau
(c) kewajipan untuk menerima, menyimpan, melupuskan atau mengakaunkan, apa-apa barang simpanan atau harta Majlis, atau yang sebenarnya menerima, memegang, melupuskan atau mengakaunkan barang simpanan atau harta itu.
Seksyen 25G.Notis supaya menunjukkan sebab.
Majlis hendaklah, sebelum seseorang disurcaj, menyampaikan kepadanya suatu notis bertulis yang memintanya menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut disurcaj.
Seksyen 25H. Pengenaan surcaj.
Jika penjelasan yang memuaskan hati tidak diterima dalam masa 14 hari dari tarikh notis disampaikan kepada seseorang di bawah seksyen 25G, MajIis boleh-
(a) dalam hal mana-mana perbuatan atau peninggalan yang disebut dalam perenggan 25F(1)(a), (b) atau (c), mensurcaj terhadap orang itu sejumlah wang yang tidak melebihi amaun yang tidak dipungut atau pembayaran yang tidak sepatutnya dibuat atau nilai kekurangan harta atau nilai harta yang dimusnahkan; dan
(b) dalam hal sesuatu perbuatan atau peninggalan yang diperihalkan dalam perenggan 25F (d) atau (e), mensurcaj terhadap orang itu suatu jumlah wang yang difikirkan patut oleh Majlis dengan mengambil kira hal keadaan kes.
Seksyen 25I. Pemberitahuan surcaj.
Jika seseorang telah disurcaj di bawah seksyen 25H, Majlis hendaklah memberitahunya secara bertulis mengenai pengenaan surcaj itu.
Seksyen 25J. Penarikan balik surcaj.
Walau apa pun seksyen 25H dan 25I, Majlis boleh pada bila-bila masa menarik balik apa-apa surcaj yang berkenaan dengannya suatu penjelasan yang memuaskan telah diterima atau jika didapati selainnya bahawa tiada surcaj sepatutnya dikenakan, dan Majlis hendaklah serta-merta memberitahu orang yang disurcaj itu mengenai penarikan balik itu.
Seksyen 25K.Catatan surcaj.
Tiap-tiap surcaj yang dikenakan ke atas seseorang pegawai di bawah seksyen 25H hendaklah dicatatkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai itu.
Seksyen 25L.Mendapatkan surcaj.
Amaun apa-apa surcaj yang dikenakan dibawah seksyen 25H dan tidak ditarik balik di bawah seksyen 25J hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar kepada Majlis daripada orang yang disurcaj dan boleh dibawa saman baginya dan didapatkan dalam mana-mana mahkamah oleh Majlis dan boleh juga, jika diarahkan oleh Majlis, didapatkan melalui potongan-
(a) daripada gaji orang yang disurcaj itu; atau
(b) daripada pencen orang yang disurcaj itu,
melalui ansuran bulanan yang sama banyak, setiap ansuran tidak melebihi satu perempat daripada jumlah gaji atau pencen bulanan mengikut mana-mana yang berkenaan, orang itu.
Seksyen 25M. Surcaj tidak boleh menghalang tindakan tatatertib.
Apa-apa tindakan yang diambil terhadap seseorang pegawai di bawah Bahagian ini tidak boleh menghalang apa-apa tindakan tatatertib dimulakan terhadapnya mengikut Peraturan-Peraturan." .