ENAKMEN 2 TAHUN 2003 ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2003
Seksyen 12. Seksyen 22A dan seksyen 22B baru
Enakmen ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 22 seksyen yang berikut:
“Seksyen 22A. Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan.
Jika suatu pertubuhan perbadanan melakukan suatu kesalahan di bawah Enakmen ini—
(a) mana-mana orang yang, pada masa kesalahan itu dilakukan, merupakan pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai yang seumpamanya bagi pertubuhan perbadanan itu, boleh didakwa secara berasingan atau bersesama dalam prosiding yang sama dengan pertubuhan perbadanan itu; dan
(b) tiap-tiap pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai yang seumpamanya bagi pertubuhan perbadanan itu yang, dalam apa-apa cara, melalui perbuatan atau peninggalan secara langsung atau tak langsung terlibat dengan atau menjadi pihak dalam pelakuan kesalahan itu hendaklah disifatkan telah melakukan kesalahan itu,
melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan atau pembiarannya atau bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah atau bahawa dia telah mengambil segala usaha wajar bagi mengelakkan kesalahan itu daripada berlaku.
Seksyen 22B. Kesalahan kedua atau kemudian.
Mana-mana orang yang melakukan hal kesalahan kedua atau kemudian berhubung dengan kesalahan yang disebut dalam seksyen 22, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh membuat perintah untuk menutup Sekolah Islam itu.”.