ENAKMEN A28 ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU) (PINDAAN) 2012
Seksyen 16. Seksyen baru 87A dan 87B
Enakmen ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 87 seksyen baru yang berikut:
“Bertindak sebagai Imam, Khatib, atau Bilal dalam sembahyang Jumaat
87A. (1) Tidaklah boleh mana-mana orang bertindak sebagai Imam, Khatib, atau Bilal berhubung dengan penunaian manamana sembahyang Jumaat di mana-mana tempat kecuali dia seorang Imam, Khatib atau Bilal yang dilantik di bawah Bahagian ini atau dia adalah seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis untuk bertindak sedemikian berhubung dengan sembahyang Jumaat yang berkenaan itu.
(2) Tidaklah boleh mana-mana orang yang dilantik sedemikian bertindak sebagai Imam, Khatib atau Bilal berhubung dengan penunaian mana-mana sembahyang Jumaat, selain daripada di masjid yang padanya dia dilantik pada masa itu atau ditugaskan oleh Majlis, melainkan dia dibenarkan oleh Majlis untuk bertindak sedemikian.
(3) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Khutbah
87B. (1) Hanya khutbah yang diluluskan oleh Majlis hendaklah dibaca sebagai khutbah bagi maksud sembahyang Jumaat atau sembahyang Hari Raya atau sembahyang-sembahyang lain yang menggunakan khutbah.
(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.”.