ENAKMEN 6 TAHUN 1993 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) (PINDAAN) 1993
Seksyen 19. Seksyen baru 55A.
Enakmen ibu adalah dipinda dengan memasukkan selepas sahaja seksyen 55, seksyen baru 55A berikut:
"Seksyen 55A. Perceraian di luar Mahkamah.
(1) Walau apa pun peruntukan yang terdapat di seksyen 54, seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari dari talaq itu dilafazkan melaporkan talaq itu kepada Mahkamah.
(2) Mahkamah hendaklah mengadakan perbicaraan untuk memastikan bahawa talaq itu telah dilafazkan dengan sah mengikut Hukum Syara'.
(3) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa talaq itu telah dilafazkan dengan sah mengikut Hukum Syara', Mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 124, membuat perintah mengesahkan perceraian talaq itu. Mahkamah hendaklah merekodkan perceraian itu dan menghantarkan satu salinan rekod yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.".