ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (PERAK) 2004

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 119. Pengemukaan dokumen dan terjemahannya

(1) Seseorang saksi yang disaman untuk mengemukakan sesuatu dokumen hendaklah, jika dokumen itu ada dalam milikannya atau di bawah kuasanya, membawa dokumen itu ke Mahkamah walaupun mungkin ada apa-apa bantahan terhadap pengemukaannya atau kebolehterimaannya. Keesahan apa-apa bantahan sedemikian hendaklah diputuskkan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh, jika didapatinya patut, memeriksa dokumen itu melainkan jika dokumen itu merujuk kepada hal ehwal Negeri, atau mengambil keterangan lain bagi membolehkannya menentukan kebolehterimaan dokumen itu.

(3) Jika bagi maksud itu adalah perlu untuk menyebabkan apa-apa dokumen diterjemahkan, Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengarahkan penterjemah supaya merahsiakan kandungan dokumen itu melainkan jika dokumen itu akan dikemukakan sebagai keterangan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.