ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 18A. Enggan memberi nama dan tempat tinggal.

(1) Apabila mana-mana orang di hadapan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama, atau Pegawai Polis, melakukan atau dituduh melakukan kesalahan yang tidak boleh ditangkap di bawah Enakmen ini dan apabila diminta oleh Pegawai itu, dia enggan memberi nama atau alamat tempat tinggalnya atau memberi nama atau tempat yang mana pengawai itu ada sebab bagi mempercayai yang ia adalah palsu, maka dia bolehlah ditangkap oleh Pegawai itu supaya menentukan nama dan tempat tinggalnya, dan dia hendaklah dalam tempoh 24 jam selepas penangkapan itu, tanpa dikira masa perjalanan, dibawa ke hadapan Hakim yang berhampiran melainkan dalam masa yang tersebut itu, nama dan tempat tinggalnya yang betul dapat ditentukan dan dalam keadaan sedemikian dia hendaklah dilepaskan dengan segera setelah menyempurnakan bon jaminan diri supaya hadir di hadapan Hakim jika dikehendaki.

(2) Apabila orang itu dibawa ke hadapan Hakim maka Hakim itu bolehlah meminta orang itu menyempurnakan bon, sama ada dengan penjamin ataupun tidak, supaya orang itu hadir di hadapan seorang Hakim, ataupun boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia dibicarakan.

(3) Apabila mana-mana orang di hadapan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis, melakukan atau dituduh melakukan kesalahan yang tidak boleh ditangkap dan apabila diminta oleh pegawai itu supaya memberi nama dan tempat tinggalnya, dia memberi alamat tempat tinggal yang mana tempat itu adalah di luar Negeri Sabah dia bolehlah ditangkap oleh pegawai itu dan hendaklah dengan serta merta dibawa ke hadapan Hakim yang hampir sekali yang mana boleh menghendakinya supaya menyempurnakan bon dengan atau tanpa penjamin, supaya hadir di hadapan seorang Hakim atau jika perlu ditahan dalam jagaan sehingga dia dibicarakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.