ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XVIII - DARIHAL PEMBEBASAN ATAU SABITAN DAHULU



Seksyen 131. Orang yang telah disabitkan atau dibebaskan tidak boleh dibicarakan semula bagi kesalahan yang sama.

(1) Mana-mana orang yang telah dibicarakan oleh suatu Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten bagi suatu kesalahan dan telah disabitkan atau dibebaskan atas kesalahan tersebut tidaklah selama sabitan atau pembebasan tersebut masih berkuatkuasa boleh dibicarakan semula bagi kesalahan yang sama mahupun atas fakta-fakta yang sama bagi apa-apa kesalahan lain yang baginya suatu pertuduhan yang dibuat terhadapnya boleh dibuat di bawah seksyen 89 atau yang baginya dia boleh disabitkan di bawah seksyen 90.

(2) Mana-mana orang yang telah dibebaskan daripada atau disabitkan atas apa-apa kesalahan bolehlah kemudiannya dibicarakan bagi apa-apa kesalahan yang lain yang baginya suatu pertuduhan berasingan boleh dibuat terhadapnya pada perbicaraan dahulu di bawah subseksyen (1) seksyen 88.

(3) Mana-mana orang yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang terjadi melalui apa-apa perbuatan yang menyebabkan akibat-akibat yang, bersama dengan perbuatan itu, menjadi suatu kesalahan yang lain daripada kesalahan yang dia telah disabitkan, bolehlah kemudiannya dibicarakan bagi kesalahan yang akhir disebut itu, jika akibat-akibat itu belum berlaku atau tidak diketahui oleh Mahkamah telah berlaku pada masa dia disabitkan.

(4) Mana-mana orang yang telah dibebaskan daripada atau disabitkan atas apa-apa kesalahan yang terjadi melalui apa-apa perbuatan bolehlah, walaupun ada pembebasan atau sabitan tersebut, kemudiannya dipertuduh melakukan dan dibicarakan atas apa-apa kesalahan lain yang terjadi melalui perbuatan-perbuatan yang sama yang dia mungkin telah lakukan, jika Mahkamah yang olehnya dia pertama kalinya dibicarakan itu tidak berkompeten untuk membicarakan kesalahan yang dia kemudiannya dipertuduhkan.

(5) Penolakan sesuatu aduan, atau pelepasan tertuduh itu, bukanlah suatu pembebasan bagi maksud-maksud seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.