ENAKMEN 8 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN DAN PENDAFTARAN



Seksyen 21. Pendaftaran Perkahwinan.

(1) Perkahwinan tiap-tiap seseorang yang biasanya bermastautin dalam Negeri ini dan perkahwinan tiap-tiap seseorang yang tinggal di luar Negeri tetapi bermastautin dalam Negeri ini, hendaklah didaftarkan mengikut peruntukan-peruntukan Enakmen ini.
(2) Dalam masa tujuh hari selepas akadnikah sesuatu perkahwinan maka adalah menjadi kewajipan pihak-pihak kepada perkahwinan itu termasuk orang yang telah mengakadnikahkannya, melaporkan kepada Pendaftar bagi Kariah masjid di mana perkahwinan itu telah diakadnikahkan, fakta tentang perkahwinan itu dan segala butir-butir yang perlu mengenainya untuk dikemukakan kepada Pendaftar menerusi borang perkahwinan yang ditetapkan yang telah diisi, diakusaksi dan ditandatangani dengan sewajarnya; dan Pendaftar hendaklah dengan segera mendaftarkan perkahwinan itu mengikut Borang 1E.

(3) Adalah menjadi kewajipan Pendaftar sebelum mendaftar sesuatu perkahwinan membuat penyiasatan yang memuaskan hatinya bahawa segala kehendak-kehendak Hukum Syarak dan Enakmen ini mengenainya telah dipenuhi dan bahawa perkahwinan itu adalah sah dan boleh didaftarkan.

(4) Pendaftar adalah mempunyai kuasa untuk menjalankan sumpah dan ikrar dan boleh memeriksa sesiapa jua mengenai apa-apa perkara yang dikemukakan kepadanya bagi pendaftaran.

(5) Selepas mendaftarkan sesuatu perkahwinan dan selepas dibayar kepadanya bayaran yang ditetapkan, Pendaftar hendaklah mengeluarkan suatu Sijil Nikah dalam Borang 1F kepada kedua-dua pihak bagi perkahwinan itu.

(6) Pendaftar hendaklah juga selepas dibayar bayaran yang ditetapkan, mengeluarkan suatu Sighah Taliq jika suami melafazkannya dalam Borang 1F kepada tiap-tiap satu pihak bagi perkahwinan itu.

(7) Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap orang untuk melaporkan kepada Pendaftar tentang hal keadaan sesuatu kes dalam mana ia mungkin berpendapat bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak sah, atau bahawa sesuatu perkahwinan yang kena didaftarkan telah bersalahan dengan peruntukan-peruntukan Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.