ENAKMEN 2 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan peruntukan seksyen ini semua orang Islam adalah layak memberi shahadah atau bayyinah dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh,adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak melakukan tohmah.

(2) Seorang yang bukan Islam layak memberi bayyinah ke atas seorang Islam jika keterangan itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian:
(3) Seorang yang tidak bersifat adil yang mana keburukannya mengatasi kebaikannya atau sentiasa bercakap dusta atau rosak akhlaknya adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

(4) Apabila orang itu orang bukan Islam ia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seorang kanak-kanak yang belum baligh atau seorang yang baligh tetapi terganggu atau tercacat akal fikirannya adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

Huraian-Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh setengah kanak-kanak, ke atas yang lain selama mana mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu adalah layak diterima.

(6) Seorang yang dikenali dengan lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

(7) Seorang yang diragui kerana hubungan baik yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah bagi pihak itu.

(8) Seorang yang diragui kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah terhadap pihak itu.

Huraian-"Adil" ertinya seorang Islam yang termaklum menunaikan kewajipan agama, menjauhi daripada dosa-dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dengan syarat bahawa jika saksi itu seorang bukan Islam dia hendaklah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.