ORDINAN 44 TAHUN 2001
ORDINAN TATACARA MAL SYARIAH

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 3. Tafsiran.

(1) Dalam Ordinan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"bailif" termasuklah Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungkan bagi melaksanakan kewajipan seorang bailif;

"borang" ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang disebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian dalam Jadual itu;

"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Ordinan ini;

"Hakim" atau "Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, yang dilantik di bawah seksyen 4, 5, 6 atau 8, mengikut mana-mana yang berkenaan Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"hari kehadiran" ertinya hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan bagi pendengaran prosiding itu;

"lien" ertinya suatu hak atas harta seseorang penghulu penghakiman setakat keterhutangan itu;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"notis" ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;

"orang belum dewasa" ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun;

"orang tak berkeupayaan" termasuklah seseorang bukan seseorang orang yang tak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang diterima masuk sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 28 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"pemiutang penghakiman" ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman bagi pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah seksyen 9 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"penghakiman" termasuklah alasan penghakiman;

"penghutang penghakiman" ertinya orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang;

"terjemahan diperakukan" ertinya terjemahan apa-apa dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang diterima oleh Mahkamah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini dan tidak ditakrifkan dalam Ordinan ini tetapi ditakrifkan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41], Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42], Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 2001 [Bab 43] atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertiannya itu tidak bercanggah dengan Undang-Undang Islam secara menyeluruh.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini yang disenaraikan dalam Jadual pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bertentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.