ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
Bab XV - DARIHAL PENGGANTUNGAN, PENGURANGAN DAN PERINGANAN HUKUMAN-HUKUMAN



Seksyen 134. Kuasa untuk menggantungkan atau mengurangkan hukuman-hukuman.

(1) Apabila mana-mana orang telah dihukum dengan hukuman bagi satu kesalahan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan (bertindak mengikut peruntukan-peruntukan Perkara 42 Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah Darulaman dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan) bolehlah pada bila-bila masa, tanpa syarat, atau dengan apa-apa jua syarat yang telah diterima oleh seseorang yang telah dihukum, menggantungkan perlaksanaan hukumannya atau mengurangkan keseluruhan atau mana-mana bahagian dari hukuman yang dia telah dihukum.

(2) Bila mana satu permohonan dibuat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bagi penggantungan atau pengurangan dari satu hukuman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bolehlah meminta Kadi Besar atau Kadi yang membuat sabitan supaya menyatakan pendapatnya sama ada permohonan itu hendak dibenarkan atau ditolak dan Kadi Besar atau Kadi berkenaan hendaklah menyatakan pendapatnya.

(3) Jika mana-mana syarat atas mana-mana satu hukuman telah digantungkan atau dikurangkan telah, pada pendapat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan tidak dipatuhi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bolehlah membatalkan penggantungan atau pengurangan itu; maka orang yang hukumannya telah digantungkan atau dikurangkan bolehlah, jika dia telah dibebaskan, ditangkap oleh mana-mana Pegawai Polis atau Penyelia Agama tanpa waran dan ditahan di penjara oleh seorang Kadi untuk menjalani bahagian hukuman yang belum selesai.

(4) Tiada apa-apa yang terkandung di dalam seksyen ini boleh mengganggu hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk memberikan keampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.