ENAKMEN 2 TAHUN 1985
ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH 1985

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam kanun ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan-

"Jenayah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Acara Jenayah Syariah 1983 [9/83];

"Kerajaan" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [3/82];

"Mahkamah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [3/82];

"Muncikari" ertinya seorang yang menjalankan pekerjaan sebagai orang tengah di antara seseorang perempuan dengan seseorang lelaki bagi tujuan-tujuan yang menyalahi hukum syarak;

"Negeri" ertinya Negeri Kelantan;

"Penyelia Agama" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [3/82];

"pegawai masjid" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Acara Jenayah Syariah 1983 [9/83];

"perempuan bersuami" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Keluarga Islam 1983 [1/83];

"persetubuhan syubhat" ertinya persetubuhan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan dengan anggapan bahawa mereka adalah suami isteri yang sah tetapi ternyata kemudiannya bahawa mereka bukan suami isteri yang sah mengikut hukum syarak;

"Qadhi" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [3/82];

"sumbang" ertinya perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin;

"zina" ertinya persetubuhan selain daripada rogol dan persetubuhan syubhat antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukannya suami isteri;

(2) Semua perkataan, perbahasan takrifan dan rangkaikata yang digunakan di dalam Kanun ini tetapi tidak ditakrifkan dengan tertentu di dalamnya maka hendaklah disifatkan mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Akta Tafsiran 1967 [Akta 23/67].

(3) Jika timbul sebarang persoalan atau pertikaian dalam mentafsir sesuatu perkataan, perbahasan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasan atau rangkaikata sedemikian itu.

(4) Kesalahan-kesalahan yang terdapat di dalam Kanun ini tidak sahaja termasuk tindakan-tindakan yang dilakukan tetapi juga ketinggalan yang menyalahi Undang-undang.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.