ENAKMEN 6 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2002

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 52. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju'.

(1) Dalam seksyen ini "talaq raj'i" ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis 'iddah; dan "ruju'" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh selepas perceraian boleh dirujuk.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, ruju' berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal perujukan itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi mukim masjid di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa ruju' berlaku mengikut Hukum Syarak, hendaklah mendaftarkan perujukan itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan ruju' dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan perujukan itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan hal perujukan sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subsekyen (2) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan ruju' itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan ruju' itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan ruju' itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan ruju' itu dengan membuat endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isterinya supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian dan ruju' itu.

(8) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' dan isteri telah bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang munasabah, mengikut Hukum Syarak sebaIiknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47, dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju' itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik Hakam sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 48, dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.