ENAKMEN 10 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 3. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"bailif' termasuklah Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan kewajipan seorang bailif;

"borang" ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang disebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian dalam Jadual itu;

"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini;

"Enakmen Mahkamah" ertinya Enakmen Mahkamah Syariah 2004;

"Hakim" atau "Hakim Syar'ie" ertinya Ketua Hakim Syar'ie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakrnen Mahkamah;
"hari kehadiran" ertinya hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali;

"lien" ertinya suatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat keterhutangan itu;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Majlis" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"notis" ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;

"orang belum dewasa" ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapanbelas tahun;

"orang tak berkeupayaan" termasuklah seseorang budak, seseorang tak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya;

"Peguam Syar'ie" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"pemiutang penghakiman" ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman bagi pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah;

"penghakiman" termasuklah alasan penghakiman;

"penghutang penghakiman" ertinya orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang;

"terjemahan diperakui" ertinya terjemahan apa-apa dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang diterima oleh Mahkamah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Enakmen Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1963 hendaklah mempunyai erti yang diberikan 'kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.