ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
Bab XI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI DENGAN PENYIASATAN DAN PEMBICARAAN



Seksyen 110. Kuasa menangguhkan pembicaraan.

(1) Jika oleh kerana seseorang saksi tidak hadir atau kerana sebab-sebab lain yang munasabah maka adalah menjadi perlu atau patut bagi menangguhkan dari memulakan atau menangguhkan sebarang pembicaraan, Mahkamah bolehlah, dengan arahan bertulis, dari masa ke semasa menangguhkannya atas syarat-syarat sebagaimana yang difikirkannya patut dan selama tempoh sebagaimana yang difikirkannya munasabah dan bolehlah dengan waran menahan orang yang dituduh itu sekiranya dia dalam jagaan :

Dengan syarat bahawa seseorang Kadi tidaklah boleh menahan orang yang dituduh itu di bawah seksyen ini selama tempoh melebihi tujuh hari pada satu masa dan :

Dengan syarat lagi bahawa apabila pegawai Perubatan Kerajaan telah mengarahkan bahawa pengadu adalah tidak berupaya memberi keterangan sebelum tarikh yang tertentu maka orang yang dituduh itu bolehlah ditahan sehingga ke suatu tarikh walaupun tempoh tahanannya akan melebihi tujuh hari.

(2) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini oleh Mahkamah Kadi hendaklah dengan bertulis dan ditandatangani oleh Kadi yang menjalankan pembicaraan itu, hendaklah menyatakan alasan-alasannya sekali.

Huraian
- Jika didapati keterangan yang cukup yang menunjukkan bahawa orang yang dituduh itu disyaki melakukan sesuatu kesalahan dan nampaknya harus boleh didapati keterangan selanjutnya semasa ianya ditahan maka ini adalah suatu sebab yang munasabah untuk menahannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.